Minggu, 17 Agustus 2014

Di Antara Faedah Ilmu dari Syaikh Kholid az-Zhafiri (01)

Di Antara Faedah Ilmu dari Syaikh Kholid az-Zhafiri dalam Muhadharah bertajuk:

"Wasiat Nabi Untuk Taat Kepada Pemerintah"

Daurah Ilmiah "Miratsul Anbiya" ke-10 tahun 1435 H / 2014 M

~~~~~~~~~~~~~~~~~~
(berbahasa Malaysia)

»» Wasiat Bertakwa Kepada Allah

Di dalam sebuah hadits yang amat memberi kesan kepada para sahabat yang membuatkan mata mereka menangis dan hati mereka sedih, adalah hadits tentang wasiat Nabi yang terakhir.

Wasiat yang pertama adalah supaya manusia sentiasa bertakwa kepada Allah. Bertakwa kepada Allah adalah wasiat dari Allah kepada setiap golongan manusia baik yang terdahulu hingga ke akhir zaman. Takwa adalah bekalan bagi manusia untuk selamat di dunia dan akhirat.

Takwa dari segi bahasa bermaksud jauh dan takut. Iaini jauh dan takut dari azab api neraka Allah.

Ali bin Abi Thalib berkata takwa adalah takut kepada dzat yang Maha Mulia, beramal dengan syariat yang dibawa oleh Rasul, merasa cukup dan redha dengan apa yang telah diberikan oleh Allah, serta mempersiapkan diri untuk kehidupan akhirat.

Takwa itu juga bermaksud beramal dengan ketaatan kepada Allah. Kita melakukan ketaatan kepada Allah dengan cahaya (ilmu) dari Allah, dan mengharapkan pahala dari Allah. Serta meninggalkan maksiat kepada Allah dengan ilmu dari Allah, dan takut dari azab Allah.

»» Wasiat Mendengar & Mentaati Pemerintah

Wasiat yang kedua adalah agar manusia mendengar dan mentaati kepada pemerintah kaum muslimin. Pentingnya peringatan ini sehingga Nabi mewasiatkan perkara ini, setelah wasiat supaya bertakwa kepada Allah.

Seperti yang Allah firmankan, wahai orang-orang yang beriman, taatlah kalian kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan pemimpin di antara kalian.

Begitu pula di dalam hadits Nabi mengatakan barangsiapa yang mentaati pemimpin dari umatku, maka dia telah mentaatiku.

Rasulullah juga menerima bai'at dari para sahabat bagi mendapatkan ketaatan dari mereka dalam kondisi apa pun. (Namun ketaatan kepada pemimpin hanya dalam hal yang ma'ruf, tidak di dalam hal yang maksiat, serta tidak mengaibkan dan memberontak kepadanya).

Rasulullah juga mengingatkan bahawa ketika yang memimpin itu dari kalangan hamba dari golongan Habsyah, wajib untuk kita mentaatinya. Kerana dasarnya bukanlah kerana kita redha atau setuju atau tidak redha dan tidak setuju dengan pemimpin yang ada, tetapi semata-mata menuruti apa yang datang dan diperintahkan dari Sunnah.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata, pemberontakkan yang berlaku ke atas pemerintah di atas muka bumi ini dalam sejarah apa pun, tidak ada yang mendatangkan kesan yang baik, melainkan mendatangkan kesan yang lebih buruk dari keadaan sebelumnya.

Rasulullah menyampaikan tentang perpecahan dan perselisihan yang akan berlaku dalam umatnya, siapa sahaja yang hidup setelah ku nanti, dia akan melihat perselisihan yang banyak, jalan keluarnya adalah dengan berpegang teguh kepada Al-Qur'an dan Sunnah, serta pemahaman umat terdahulu umat ini dari kalangan Salafusoleh. Serta meninggalkan perkara baru dalam agama ini dan para pembuatnya. Dan ikutilah Sunnahku dan Sunnah Khulafahurrasyidin.

Rasulullah sering mengingatkan supaya hati-hati dengan perkara baru dalam agama, kerana setiap perkara baru dalam agama adalah bid'ah. Dan setiap bid'ah itu adalah sesat. Dan semua kesesatan itu tempatnya di dalam neraka.

Ternyata perselisihan dan perpecahan telah berlaku pada zaman kita. Munculnya kelompok-kelompok seperti Ikhwanul Muslimeen, Jamaah Tabligh dan banyak lagi. Kembalilah kepada bimbingan Nabi dan Salafusoleh.

Wajib bagi setiap kaum muslimin untuk menjauh dan memperingatkan yang lainnya agar menjauhi setiap perkara baru dalam agama.

oleh Taufiq Balwail Malaysia
Admin WhatsApp Thoriqussalaf

----------
WhatsApp Miratsul Anbiya Indonesia

----------------------------

Tidak ada komentar:

Posting Komentar